Assalamualaikum wbt
Di luar sana hujan, melihatkan titik-titik hujan yang sesekali menerjah kaca tingkap – rasa syahdu. Terasa pintu langit terbuka untuk membawa naik doa-doa hambaNya yang berdoa. Bibir menyebut “Rabbirghfirli …” I suka pada sebutan itu, suka bila berkesempatan berdoa – mohon keampunan daripada Allah. Bila Allah mengampunkan, tentulah semua-muanya akan sejahtera.
Teringat pula bahawa inilah juga bacaan doa yang kita ucapkan semasa duduk antara dua sujud. Pernah cikgu I bertanya, mana ada orang yang siuman apabila ia mengucapkan doa antara dua sujud itu, ia mengucapkannya sepantas kilat. Kecualilah ia hilang akal pada ketika itu.
Apabila kita telitikan makna bacaan doa itu tentulah kita akan sangat faham. Mana boleh, apabila meminta, kita buat senafas sahaja. Contoh; bila kita berkehendak sesuatu daripada ibu kita. Kita pun mendapatkannya dan berkata dengan nada laju “mak, maafkan saya – sayangi saya – beri saya makan – duit belanja – jaga saya dan ampuni dosa saya”. Tentulah tidak begitu, sebaliknya kita akan memerlihara nada suara, melembutkan bait-bait tutur kata dengan teratur. Contoh lagi, bila kita bercakap dengan suami untuk minta kebenaran keluar shopping dengan kawan-kawan. Bak kata orang tentulah lebih lembut gigi daripada lidah …
Doa ini kita lafazkan bagi seorang yang adil iaitu orang-orang yang tidak zalim pada dirinya sendiri, dia akan mengulang-ulangi doa ini sekurang-kurangnya 9 kali sehari (lebih daripada 22 ribu kali setahun) tetapi doa ini tidak berkesan di hatinya. Cuba berhenti di hujung setiap permintaan. Apabila kita ucapkan, “Rabbirghfirli …” ketahuilah dalam hati bahawa kita ini sedang memohon Allah mengampunkan kita. Tentulah tersentap sekejab memikirkan bahawa kita ini berdosa dan hanya Allah sahajalah yang boleh mengampunkan dosa. Jika tidak diampunkan, tentulah binasa diri ini. Bagaimana pula hendak menghadapi Mahsyar nanti.
Kita ucapkan pula “warhamni, wajburnii, warzuqnii, wahdinii, wa’aafinii, wa’fuannii..” kita memohon Rahmat daripada Allah, mohon Allah baiki diri kita, angkat darjat kita, memberi rezeki, beri kita hidayah, kesihatan dan keampunan. Siapalah kita yang duduk dalam simpuh ini, berlagak tertib dan sopan santun sedangkan tadinya kita sedikit pun tidak merasakan perlu pada Rahmat Allah. Ada juga di antara kita yang merasakan cukuplah dirinya dan fakulti mindanya yang bijaksana untuk menguruskan perniagaan, isteri, anak-anak dan harta bendanya. Kadang-kadang ada juga di antara kita yang merasakan kitalah yang sebenarnya memberi rezeki kepada orang-orang yang dibawah tangggungan kita. Kalau tanpa kita, tentulah anak, isteri dan pekerja kita ini akan susah - Ish ish ish …. Marilah kita mengambil sedikit masa muhasabah diri, melihat siapa kita dan di mana pula kedudukan Ilahi dalam diri kita yang mana nafas pun tidak boleh kita atur-aturkan kaedahnya. Setidak-tidaknya sejam dua selepas solat – kita pun berhemahlah bila berkata-kata, lembut dalam pergaulan dan tertib, menandakan bahawa kita faham akan ucapan kita dalam solat tadi tidaklah kita terus nak meradang atau sombong bila berkata-kata. Lepas tu, lama sikit kita akan lupa – tetapi kita akan mendatangi solat lagi, dan kembali akur pada janji. Begitulah sifat insan, kita selalu lupa – nasib baik kita solat lima kali sehari. Peringatan demi peringatan selalu berlaku. Cantikkan Allah mengatur kehidupan ini. katalah “Alhamdulillah”.
Bagi diri I, cukuplah Allah yang mengatur – tidak mahulah memandai-mandai dalam urusan ibadah. Hujan pun sudah reda … jom balik. Terima kasih ya Allah.
Comments
Post a Comment